Monday, November 21, 2016

Ayah Idolaku


Sebut sahaja idola pasti yang bermain di minda masyarakat tidak kira bangsa, agama mahupun usia pasti yang terlintas itu merupakan ahli-ahli politik. Sungguh cetek pemikiran manusia masa kini. Pemikiran yang seolah-olah dihimpit dan disekat berpaksikan politik semata.

            Aku tidak menafikan bahawa aku juga tergolong dalam golongan yang sebegitu rupa. Manakan tidak pabila ditanya “Siapakah idola kamu?” tanya pensyarah, dengan pantas dan selamba Tun Dr. Mahathir Mohamed jawapanku. Namun yang sebetulnya tidak. Fikiran yang dikurnia tidak diguna. Mata yang cerah tidak terlihat indah. Insan yang terhampir seperti endah tak endah sedangkan dia lah idola yang sebenar. Siapakah dia? Dia lah insan yang bergelar ayah.

            Namaku Syamir namun dikalangan keluarga aku hanya dipanggil Amir. Saat aku dibangku tadika, aku seperti kanak-kanak yang lain. Kadang kala rajin kadang kala malas. Pada suatu hari, di pagi yang hening bersama angin yang meniup lembut, aku seakan tidak bermaya bukan kerana sakit yang menimpa tapi kemalasan yang melanda. “Mak, amir tak nak pergi tadika hari ni” kataku dengan longlai. Setelah itu dengan tiba-tiba satu suara garau menyentak “Apa? Tak nak pergi tadika?” lalu “Sapppppp” satu libasan rotan menghinggap di belakang badanku. Aku tergaman lalu menangis teresak-esak seakan kehilangan nafas.

            Pagi itu ayahku menghantar emakku ke tempat kerja. Aku turut dibawa sama. “Vroom” kereta meluncur laju di jalanan. Aku hanya berdiam namun suara ayahku mematikan kesunyian itu. “Kesian anak ayah. Kenapa degil sangat? Pergi sekolah kan bagus.” Kata ayahku memujuk. Percakapan diteruskan “Ayah cuma tinggal sorang je lagi anak yang mampu ayah banggakan. Walaupun masih lambat, tapi ayah harapkan amir dapat belajar tinggi, tinggi ke universiti sana. Abang-abang dah lepas, siapa lagi yang boleh ayah harapkan?”. Aku masih kaku tanpa bicara dan berfikir sejenak.

Masa pantas berlalu dengan tidak ada sedikit pun menanti. Aku beranjak naik ke sekolah rendah. Kini aku di darjah dua. Aku sedar aku punyai otak yang agak lembab. Bahasa Inggeris merupakan subjek paling aku benci bukan kerana sesiapa tapi kerana diri sendiri yang tidak meminati. Peperiksaan akhir menjelma. Aku tahu di mana tahapku. “Ok, masa sudah tamat” kata guru yang sedang bertugas. Terpancar kekecewaan diwajahku. Walaupun seusia lapan tahun namun sebagai manusia normal pasti akan terasa saingan itu. Rakan-rakan bergembira dan bergelak ketawa menandakan mereka mampu jawab dengan jayanya.

Kini tiba masa yang dinantikan. Keputusan diberikan kepada semua murid. Namun, aku terpana seketika saat suara guru Bahasa Inggeris memanggil namaku “Syamir! You are fail. I have meeting with your father tonight and I will inform him about this.” katanya dengan marah. Aku terdiam dan membisu. “Macam mana ni kalau ayah tahu? Mesti kena marah lagi.” aku bermonolog dalaman.

Keesokan harinya, “Amir! Datang sini sekejap ayah nak cakap sikit.” bentak ayahku. “Apa Amir dah buat? Amir dah memalukan ayah tahu tak. Cikgu Amir bagitahu yang Amir gagal exam English. Bagitahu depan kawan-kawan ayah pulak tu. Malu tahu tak malu?” marah ayahku. Aku tertunduk seakan ingin menangis. Kekesalan terus wujud di minda dan hatiku. Aku  bertekad untuk terus berusaha dan berubah. Hari berganti hari begitu juga tahun. Kali ini setiap peperiksaan aku hanya menduduki tempat pertama ataupun kedua.

Tahun 2008 di mana tahun aku akan menduduki peperiksaan terbesar bagi kanak-kanak seusiaku iaitu UPSR. Aku terus berusaha kerana tekadku hanya ingin melihat keluargaku bahagia dan merasa bangga. Masa pantas berlalu. Keputusan pun akan diumumkan tidak lama lagi. “Aku dapat ke 5A?” “Aku boleh banggakan ayah dengan emak tak?” itulah rutin harianku. Bermonolog dalaman dengan keresahan. Masa ditunggu-tunggu telah tiba. Keputusan telah pon dikeluarkan namun apa yang aku inginkan tidak menjadi kenyataan. Aku sekadar peroleh 4A1B.

Setelah semuanya selesai, ayah telah menjemputku untuk pulang ke rumah. Masuk sahaja aku ke dalam kereta ayah terus bertanya “Macam mana keputusan? Dapat berapa?” lalu aku menjawab “Amir dapat 4A1B jer”. Aku tertunduk kesedihan. Namun begitu ayah perasan akan perubahanku dan terus memujuk “Tak apa jangan sedih-sedih. Ayah cukup bangga dah dengan keputusan anak ayah ni. Ayah tahu anak ayah dah buat betul-betul kan?”. Ayah terlalu memahami. Walau apa jua keadaan dia tetap memberi sokongan dan dorongan.

            Aku tahu pada saat itu aku masih di usia muda atau lebih tepat masih kanak-kanak. Kata orang pemikiran bagi budak seuisaku masih lagi mentah. Fikiran yang tiada rasionalnya. Bagaimanpun aku tetap punya mata aku tetap punya telinga. Ayah seorang Ketua Kampung. Ayah menjadi sanjungan dan begitu dihormati oleh semua masyarakat setempat. Aku dapat perhatikan semua itu tapi bukan itu yang ingin aku ungkapkan. Ayah bukanlah seseorang yang bergelar siswazah. Ayah bukanlah seorang yang mempunyai pekerjaan yang gah tapi ayah punyai pemikiran dan keperibadian yang indah. Semua itu yang meletakkan di mana dia berada. Satu penipuan jika aku menafikan tiada  sedikit rasa bangga pada diriku sebagai seorang anak. Ayah menjadikan dirinya ataupun menonjolkan dirinya dengan perlakuan yang  mana mampu menyentuh hati anak-anak.

            Pekerjaan ayah sebagai Ketua Kampung membuatkan dirinya banyak menghabiskan masa di rumah dengan bermain pena. Setiap hari tidak kira siang mahupun malam pasti ada saja suara yang muncul di luar “Assalamualaikum” “Hello” suara yang mahukan ayah untuk membantu, suara yang mahukan ayah untuk menandatangani dokumen itu dan ini. Hal itu juga yang membuatkan aku lebih selalu bersamanya.

            Ayah selalu berkata kepadaku “Along tak belajar tinggi. Banyak habiskan masa dengan kumpulan muzik dia. Angah pon sama, hari-hari berlatih bola jer”. Kedengaran seakan kecewa tapi aku yakin dan percaya tiada sedikit kekecewaan dalam diri ayah. Walaupun abang-abangku ada dunia mereka tersendiri, ayah selalu menyokong kerana apa? Kerana ayah tahu apa yang terbaik buat anak-anaknya. Setiap kali along memasuki pertandingan muzik pasti ayah akan membawa kami sekeluarga pergi menontonnya tanpa pengetahuan along. Begitu juga yang dilakukan teradap angah. Angah merupakan seorang penjaga gol pasukan bola sepak Negeri Sembilan. Pabila ada sahaja perlawanan tidak akan pernah sekali pun kami terlepas menyaksikannya di stadium.

            Semua itu membuka mataku bahawa ayah begitu memberi sokongan kepada anak-anaknya dalam setiap apa yang kami lakukan. Mungkin sesetengah ibu bapa terlalu  menekankan pelajaran terhadap anak-anak mereka tanpa pernah mengambil tahu tahap dan kebolehan sebenar yang ada dalam diri anak-anak mereka. Tapi ayah tidak begitu. Ayah cuba memahami setiap perkara yang ada dalam diri anak-anaknya sejak kami diusia muda dan mungkin sebab itulah ayah selalu berkata “Ayah tahu Amir boleh. Boleh ke menara gading”. Ayah seakan mengetahui bahawa suatu hari nanti kejayaan mampu ku gapai.

            Pada tahun 2009 melangkah aku ke alam sekolah menengah. Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pedas tempat dimana ayah manghantarku. Terpancar keceriaan diwajahnya ketika itu. Aku terus hidup seperti rakan-rakan. Hidup sebagai seorang pelajar junior. Dimaki, disuruh itu dan ini seperti seorang hamba abdi menjadi perkara biasa. “Weyh kau! Gosok baju nie. Dah siap, gantung dalam almari aku” “Aku punya sekali” kata pelajar senior. Aku hanya mengikut arahan. Walau rasa tertekan, walau membara rasa kemarahan aku tetap teruskan. Aku gosok dengan penuh teliti kerana semua itu apa yang di ajar oleh ayahku. Ayahku mengajar tentang personaliti diri. Kekemasan merupakan aspek utama dalam mencerminkan watak seseorang. Sejak kecil aku ditekankan akan perkara seumpama itu. Pernah suatu ketika aku dimarah ayah “Dengan baju kusut masai macam ni nak ikut ayah keluar? Pergi masuk gosok dengan elok baru keluar atau tinggal di rumah sahaja.”. Ayah seorang yang tegas walau tentang perkara sekecil itu. Tidak akan ada perkataan lain yang keluar dari mulutku jika disuruh ayah melaikan “Ya”.

            Masa terus berlalu tanpa sempat toleh kebelakang. Aku telah pun ditingkatan tiga. Tahun dimana aku akan menduduki Peperiksaan Menengan Rendah (PMR). Pada saat itu aku punya tekad. Tekad untuk membuatkan keluargaku gembira dan bangga lagi seperti dulu dengan pencapaianku. Aku terus berusaha ke arah itu. Kata orang setiap penantian itu tidak lah lama “pejam celik pejam celik” maka akan tiba juga. Keputusan PMR akan diumumkan.

Pada pagi yang sungguh nyaman, ayah dan emak bersiap untuk membawaku ke sekolah. Sebelum meneruskan perjalanan kami singgah bersarapan di warung berhampiran. Secara tidak sengaja ayah telah berjumpa dengan rakannya. Ayah dengan wajah yang manis dan ceria menanyakan kepada rakannya “Rasa-rasa anak aku boleh dapat berapa keputusan PMR dia?”. “Aku rasa 6A boleh lah kot” kata kawan ayah. “6A pun okay lah tapi kita tengok lah nanti macam mana” jawab ayah.

Dalam perjalanan ke sekolah kami telah singgah di klinik kesihatan kerana aku memerlukan rawatan. Dua minggu sebelum itu aku telah menjalani pembedahan kerana terdapatnya ketumbuhan. Pada waktu itu ayah lah yang membawa ku untuk menerima rawatan. Ayah lah yang membawa dan mengiringi ku untuk pembedahan. Terserlah kerisauan diwajahnya. Air mataku hampir mengalir tapi ku tahan. Hari yang sama sepatutnya ayah pergi berjumpa doktor untuk melaporkan tentang kesihatannya, namun urusan ku dulu diutamakan. Kasihnya seorang ayah tiada tandingan. Saat dia memerlukan rawatan, kesihatan anaknya dulu yang dititikberatkan.

Setibanya di sekolah, aku bergegas berjumpa guru. “Cikgu, keputusan dah diumumkan ke?” tanyaku. “Belum tapi sebentar saja lagi” jawab cikgu. Aku terus menunggu dan akhirnya diumumkan juga. Aku tidak berjaya peroleh semua A. Aku bersedih sekali lagi seperti dulunya. Aku tertunduk bisu berhadapan orang tuaku. Namun sayup-sayup kedengaran “Takpa, Amir dah buat yang terbaik. 8A1B ingat senang ke nak dapat? Ayah dengan Mak dah cukup bangga dengan Amir. Ingat tak kawan ayah cakap apa? Dia cakap amir boleh dapat 6A jer, tapi Amir dah buktikan yang Amir boleh dapat lebih dari itu. Macam ni lah anak ayah”.

Perasaan yang sedih terus bertukar menjadi ceria setelah mendengar kata-kata itu. Aku dah membuatkan kedua orang tuaku tersenyum bangga dengan pencapaianku. Namun begitu, keceriaan itu tidak bertahan lama. Sebulan selepas itu ayahku telah pun pergi dijemput Ilahi. Tidak dapat ku gambarkan perasaan ku pada ketika itu. Seorang yang amat aku sayangai telah pergi meninggalkan aku dan keluarga buat selamanya.

Peninggalan itu suatu peninggalan yang tiada gantinya. Ayah terlalu banyak mengajarku dalam apa jua perkara. Aku yang pada mulanya dari tidak tahu apa-apa sudah menjadi tahu dan semua itu akan ku kenang sepanjang hayatku.

Ayah,
Kau mengajarku tentang masa,
Kau mengajarku tentang usaha,
Kau mengajarku untuk menjadi lebih dewasa.

Ayah,
Kau mendidikku untuk tidak meminta,
Kau mengingatkanku tentang bersederhana,
Kau memupukku dengan penuh nilai agama.

Ayah,
Pergi dirimu dengan senyuman,
Menjadi bualan setiap insan.
Semoga kau di sana dalam lindungan.

Ayah,
Setiap pesanmu ku ingat,
Setiap ajaranmu ku semat,
Dan kini namamu sentiasa terpahat.

Ayah,
Kau lah guru,
Kau lah pelengkap hidupku,
Dan kau lah IDOLAKU.